Saturday, November 1, 2014

Apa Lagi Cina Mau?

Hari ini saya menulis blog dalam bahasa malaysia untuk kali yang pertama. Ini adalah kerana saya rasa kalau saya mengarang dalam bahasa inggeris seperti biasa, maka ia boleh dipandang oleh orang umum bahawa penulis blog ini dan kandungan blognya tidak relevan kepada isu-isu yang sedang menghadapi negara kami yang tercinta ini.  Saya terlebih dahulu mohon maaf daripada semua pembaca blog saya sekiranya taraf bahasa malaysia saya tidak begitu elok ataupun karangan saya mengandungi kesilapan tatabahasa. Sila betulkan saya jika saya salah atau telah silap. Tetapi percayalah bahawa motif saya adalah ikhlas.

Saya merasa amat sedih melihat negara kami semakin lama semakin huru-hara dengan isu-isu politik terutamanya dari segi isu-isu perkauman. Bagi kami orang yang biasa, hubungan diantara pelbagai kaum-kaum dalam kehidupan kami setiap hari tidak menjadi sedikit masalah pun. Saya berani mengatakan bahawa kawan-kawan saya meliputi melayu, india, eurasian, cina, iaitu semua jenis kaum yang ada di Malaysia hari ini. Jadi, saya berasa amat hairan apabila ahli-ahli politik yang tertentu boleh anggap sesuai untuk selalu mengkategorikan rakyat malaysia kepada kaum-kaum masing-masing dan memecahbelahkan masyarakat malaysia sampai perasaan benci-membenci dan ketidakpercayaan menimbul dalam hati sebahagian masyarakat kami. Seolah-olahnya seperti malaysia ini hanya meliputi satu kaum, satu agama, satu budaya dan apa-apa yang tidak asli walaupun dari beberapa tahun/generasi dahulu dan apa-apa yang bukan berasal dari tanahair ini sesuai untuk dikeji sebagai pengasing yang haram. 

Adakah semua ini berlaku kerana masyarakat cina di malaysia mengundi untuk pihak pembangkang dalam pilihan raya umum Malaysia ke-13? Dan olehkerana mereka tidak mengundi untuk parti kerajaan, maka mereka ini boleh dianggap sebagai pengkhianat negara dan pembuat kacau/huru-hara? Saya rasa tidak. Masyarakat cina dimalaysia pernah dipuji oleh sesuatu pemimpin dahulu sebagai rakyat yang baik, setia, rajin dan yang tidak memberi masalah yang besar ataupun banyak masalah sosial. Tetapi, pada masa itu majoriti masyarakat cina mengundi untuk pihak kerajaan. Lihatlah betapa mudahnya untuk mengubah nasib sesuatu bangsa pada keseluruhannya! Dari kawan menjadi lawan. Senang.

Saya disini tidak menafikan bahawa masyarakat cina di malaysia tidak dikecualikan daripada masalah sosial dan boleh dengan sepenuh kepercayaan dianggap sebagai warga negara teladan ("model citizen"). Saya mengaku bahawa adanya unsur-unsur masyarakat cina di malaysia yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang kurang sihat seperti menjudi haram, kegiatan kongsi-kongsi gelap, menjual dvd dan cd cetak rompak, berniaga secara pencatutan demi untuk mendapat keuntungan yang lumayan, yang tidak membayar cukai ataupun mengelakkan kewajipan untuk membayar cukai, yang bersikap tidak jujur, suka bohong/menipu dan seterusnya. Tetapi disebalik batu ada juga masyarakat cina yang jujur, rajin bekerja untuk memajukan perniagaan mereka yang sah, yang sanggup membayar cukai kepada kerajaan, mempunyai pendidikan yang tinggi, penyayang negara dan yang boleh dianggap sebagai aset kepada negara dalam bidang perniagaan, sukan dan seni mereka. 

Kelebihan ataupun kelemahan seorang individu itu tidak bergantung kepada kaumnya kerana kami semua adalah anak-anak keturunan Adam. Kalau kamu berkata bahawa kamu tidak kenal saya daripada Adam, maka saya akan menjawab bahawa darah saya yang berwarna merah serupa dengan warna darah kamu yang merah juga. Walaupun kami berasal daripada pelbagai kaum-kaum, tetapi kami semua tetap adalah anak malaysia. Kami dilahirkan di malaysia, dibesarkan dimalaysia, dan akhirnya akan dikuburkan dimalaysia. Keistimewaan satu kaum daripada kaum yang lain adalah sesuatu ciptaan politik dan tidak boleh memisahkan rakyat malaysia dan tidak patut menjadi punca pencerobohan muhibbah negara kami yang tercinta ini. Pada masa-masa yang merisaukan ini, negara kami sangat memerlukan seorang pemimpin yang boleh, yang sanggup dan yang berazam untuk menyatukan semua rakyat malaysia tidak kira kaum ataupun agama, dan bukanlah oportunis politik yang memecahbelah rakyat dan memainkan isu-isu perkauman untuk mengekalkan kuasanya.